30 Mac 2010

Wak Sahalan Meninggal Dunia

Ahad, 28 Mac 2010 - Seorang warga emas kampung, En Sahalan b Salleh telah meninggal dunia pada malam 27 Mac di Jabatan Kecemasan Hospital Banting jam 10.30 malam. Almarhum berusia 69 tahun. Jenazahnya telah selamat dikebumikan pada pagi 28 Mac di tanah perkuburan Islam Olak Lempit, yang diketuai oleh tuan Imam Hj Ramli bin Dolah. Turut serta mengiringi jenazah ditanah perkuburan, semua saudara mara terdekat serta jiran tetangga.

Seluruh warga Kampung Olak Lempit mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga seluruh ahli keluarga sentiasa bersabar diatas dugaan yang diterima. Didoakan semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. InsyaAllah

Pertandingan PS2 Winning Eleven Kampung Olak Lempit

Sabtu, 27 Mac 2010 - Sebaik sahaja upacara pelancaran website selesai, majlis diteruskan pula dengan Pertandingan PS2: Winning Eleven. Pertandingan ini julung kali diadakan di kampung ini. Seramai 80 peserta mendaftarkan diri. Setelah diberi taklimat pertandingan, semua peserta bersedia di stesen-stesen PS2 yang disediakan di dalam Dewan Serbaguna ZETCOM.

Kesemua peserta dibahagikan kepada 12 kumpulan. Banyak aksi-aksi menarik dapat dilihat sewaktu pertandingan dijalankan. Peserta-peserta kali ini terdiri dari pelbagai lapisan umur. Tidak ketinggalan juga adik-adik kecil dari paringkat umur 13 tahun menunjukkan bakat mereka. Ada juga abang-abang kita yang tewas di tangan adik-adik kecil ini. Sesudah selesai perlawanan peringkat kumpulan, pertandingan diteruskan ke peringkat knock-out.

Pertandingan berkesudahan dengan keputusan:

Juara - Peserta dari Bukit Changgang
Naib Juara - Khairi dari Hulu Langat
Tempat ke-3 - Mukmin dari Olak Lempit

Syabas diucapkan kepada semua pemenang dan juga peserta pertandingan PS2 kali ini. Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, JKKKP akan menganjurkan lagi pertandingan seperti ini di masa akan datang.

Program Mesra Rakyat

Sabtu, 27 Mac 2010 - Sesudah selesai majlis pelancaran website "Kampung Olak Lempit", YB Dato Hj Marsum Paing meneruskan acara beliau dengan menziarahi warga emas sekitar kampung. Kali ini, sebanyak 20 warga emas menerima kunjungan dari YB dan juga pihak JKKKP sepanjang program ini berlangsung.

Kunjungan dari YB dan pihak JKKKP disambut baik oleh masyarakat setempat, terutamanya warga emas. Dari program berbentuk ziarah inilah yang membolehkan kita semua mengetahui keadaan kesihatan masyarakat kita setempat. Semoga usaha merapatkan ukhwah di kalangan kita semua disambut baik dan diteruskan dari masa ke semasa tanpa mengira latar belakang mahupun usia.

Majlis Pelancaran Website Kampung Olak Lempit

 

Sebuah majlis pelancaran website "Kampung Olak Lempit" anjuran JKKKP Kampung Olak Lempit telah diadakan pada hari Sabtu, 27 Mac bertempat di ZETCOM Business & Sports Center. Majlis ini berlangsung pada jam 9.30 pagi. Turut hadir pada hari tersebut ialah Pengerusi-pengerusi JKKKP Mukim Tanjung Dua Belas (2), Mantan Ketua Kampung, Tuan Hj Subohi beserta isteri, Puan Hjh Rajemah, Tuan Imam Masjid Nurul Huda, Ustaz Ramli dan ramai lagi penduduk kampung samada yang tinggal di dalam dan di luar kampung turut hadir untuk memeriahkan lagi majlis tersebut.

Website "Kampung Olak Lempit" telah dirasmikan oleh YB Dato Hj Marsum Paing, DUN Dengkil. Pada hari tersebut juga, majlis penyerahan cek dari YB Dato Hj Marsum Paing untuk projek ekonomi belia diserahkan kepada Persatuan Belia Perkasa, yang diwakili oleh Presiden persatuan, saudara Talib Darsan. Cek yang diterima berjumlah RM 5,000. Juga, Pra-reunion Kelab Bola Sepak Satria Olak Lempit turut diadakan, di mana YB juga dijemput untuk menyerahkan T-shirt kelab kepada ketua pasukan, saudara Kamal Roslan.

Setelah selesai, majlis diteruskan dengan acara minum pagi bersama orang ramai. Terdapat beberapa pengusaha IKS kampung yang tidak ketinggalan mempamerkan produk seperti kerepek, bahulu dan bermacam-macam lagi.

23 Mac 2010

Taklimat Bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)


Pagi tadi, satu taklimat mengenai promosi perniagaan menerusi laman web Kampung Olak Lempit diadakan di Dewan Masyarakat Jalan Seri Gambut, sewaktu perjumpaan mingguan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Kampung Olak Lempit sedang berlangsung. Setelah diberi laluan oleh pengerusi AIM, kumpulan sekretariat JKKKP yang diketuai oleh saudara Russaidi Ramlan dan saudara Mohd Zamzuri (Angah) menyampaikan taklimat bagaimana usahawan IKS kampung ini boleh mengambil bahagian dalam usaha mempromosikan perniagaan mereka ke luar kampung.

Di kesempatan ini juga, kedudukan terkini website kampung, olaklempit.com turut ditunjukkan. Beberapa soalan diajukan oleh ahli AIM dari segi keberkesanan dan kaedah sesuai bagaimana promosi ini perlu dijalankan. Sesudah diberi keterangan, ada juga sebahagian ahli AIM yang sudahpun mempunyai laman web perniagaan mereka sendiri. Di sinilah website kampung berperanan untuk mendapatkan 'traffic' atau tontonan orang ramai kepada iklan-iklan mereka.

Di kesempatan ini juga, seluruh warga Olak Lempit dijemput hadir beramai-ramai ke majlis perasmian website yang akan diadakan pada hari Sabtu, 27 Mac ini, bermula jam 9 pagi, bertempat di perkarangan ZETCOM. Peluang tapak pameran atau 'booth' juga dibuka secara percuma kepada semua warga Olak Lempit yang berminat. Untuk keterangan, bolehlah merujuk kepada Angah di talian 017-669 0178.

Semoga usaha mempromosikan kampung dan sebarang perusahaan membuahkan hasil dari kesepakatan semua pihak. InsyaAllah.

Program Mesra Rakyat

Pada hari Isnin 22 Mac 2010, KEMAS daerah Sepang & Pejabat ADUN Dengkil, dengan kerjasama JKKKP telah menganjurkan  "Program Mesra Rakyat", sebuah program berbentuk ziarah ke rumah warga-warga emas yang terpilih. Terdapat 30 orang peserta terpilih untuk menerima kunjungan dari KEMAS, JKKKP dan YB sendiri, Dato' Marsum Paing.

Program bermula dengan majlis ucapan dari YB, dan seterusnya disambung dengan aktiviti ziarah ke rumah-rumah peserta ini. Sepanjang perjalanan program ini, JKKKP berjaya mengesan 3 warga Olak Lempit yang menghidap sakit kronik yang mana juga memerlukan bantuan segera pada masa tersebut. Melihat perkara ini, YB Dato' Marsum Paing terus menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Langat untuk bertanyakan bantuan. Lebih kurang 30 minit kemudian, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diketuai oleh Encik Munish, tiba di Olak Lempit. Kes tersebut terus mendapat perhatian pihak JKM dan mereka juga berjanji akan mendapatkan bantuan untuk 3 warga kampung yang memerlukan bantuan segera ini.

Bagi setiap kunjungan yang dibuat, pihak KEMAS menyediakan juga buah tangan sebagai tanda ingatan bagi warga emas yang menerima kunjungan dari pihak mereka.

Gotong – Royong Bersihkan Dewan

Pada hari Ahad, 21 Mac lepas, sekumpulan warga Olak Lempit telah mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan Dewan Masyarakat Jalan Pasar. Gotong-royong ini merupakan persiapan kapada "Program Mesra Rakyat" yang akan diadakan di tempat tersebut. Seramai 15 orang kampung ini telah terlibat bersama-sama membersihkan dewan ini.

Walaupun berhadapan dengan bekalan air yang masih belum disambungkan, ternyata semangat gotong-royong di kalangan mereka amat tinggi. Antara kerja-kerja yang dilakukan adalah memotong lalang, pokok liar, membersihkan longkang dan mengemas bilik gerakan untuk melancarkan pergerakan program tersebut.

Tidak ketinggalan juga kaum wanita kampung yang turut sama bergotong-royong membersihkan kawasan. Sebahagiannya juga mengambil tugas mengumpulkan dan mengasingkan barangan buah tangan yang akan diberikan kepada penerima terpilih bagi program ini. Ternyata, kerjasama seperti inilah yang dapat merapatkan hubungan silaturahim antara badan-badan masyarakat seperti JKKKP, UMNO, JKKK, NGO, persatuan dengan penduduk setempat. Diharap usaha seperti ini dapat berterusan buat selama-lamanya.

17 Mac 2010

Puan Rahimah Meninggal Dunia

Suasana pilu menyelubungi keluarga Almarhumah puan Rahimah M.Yatim,72 tahun, apabila beliau telah pergi buat selama-lamanya untuk menemui penciptanya pada 12hb Mac, 2010 pada jam 6.00 pagi di Hospital Daerah  Banting. Sesungguhnya seluruh masyarakat Kampung Olak Lempit merakamkan simpati dan ucapan takziah kepada keluarga beliau. Puan Rahimah merupakan isteri kepada Almarhum Hj Senan bin Wear yang juga telah meninggal dunia pada bulan jun tahun lalu. Beliau amat dikenali dikalangan penduduk kampung kerana terlibat sebagai salah seorang peniaga di pasar malam.
Menurut anak lelaki beliau, En Azman bin Senan, ibunya mengidap berbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung. Sebelum almarhumah meninggal dunia, beliau ada bersama dengan al marhumah. Ketika itu, ibunya kelihatan sihat seperti biasa tanpa menunjukkan tanda-tanda yang kurang menyenangkan. Oleh itu, beliau pun mengambil keputusan untuk pulang ke rumah bagi tujuan mengambil pakaian untuk ibunya itu. Namun, tidak lama selepas tiba dirumah, beliau dihubungi olah pihak hospital, memaklumkan yang ibunya telah meninggal dunia.

Jenazah beliau selamat dikebumikan ditanah perkuburan Islam Kampung Olak Lempit sebelum solat Jumaat. Pihak keluarga amat berterima kasih kepada penduduk kampung yang sudi menziarahi Almarhumah serta membantu menyempurnakan jenazah beliau. Didoakan semoga rohnya di tempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang solehah.

10 Mac 2010

Meter Paip pun kena curi


Nampaknya kes-kes kecurian harta awam masih tidak reda. Baru-baru ini dilaporkan bagaimana kabel telefon dipotong hingga menyebabkan ramai dikalangan penduduk, terutama yang menggunakan perkhidmatan internet mengeluh kerana tidak dapat berurusan. Kini, kejadian lain pula berlaku. Meter air paip pula dicuri. Setakat ini, kes ini merupakan yang pertama di kampung ini yang melibatkan lebih 12 unit meter paip air di jalan Seri Gambut dan jalan Mahang hilang.

Keadaan ini menyebabkan penduduk yang terbabit menghadapi kesukaran dalam urusan harian, terutama keluarga yang mempunyai anak kecil, yang bersekolah dan sebagainya. Menurut En Johar, salah seorang penduduk yang terlibat. Beliau menyedari ketiadaan air pada jam 5 pagi sewaktu beliau bangun untuk ke bilik air. Kerana terkejut apabila air tidak keluar, beliau terus  meninjau meter air, kerana menyangka mungkin ada yang mematikan air tersebut. Tetapi, alangkah terkejutnya beliau, apabila mendapati meter pada paip air telah tiada. Hatinya mula berkata mungkin bukan rumahnya saorang yang terlibat, lalu dihubungi jiran terdekat. Apabila masing-masing menyiasat didapati meter paip air mereka pun dicuri. Beliau terus menghubungi saudara Zainal Abidin, selaku pengerusi Biro Keselamatan JKKKP kg Olak Lempit. Atas nasihat beliau maka semua yang terlibat sepakat untuk membuat laporan polis.

Kejadian-kejadian seperti ini amat malang bagi penduduk kampung. Jika sebelum ini kes-kes kehilangan hasil tanaman seperti pisang, ubi, keledek dan lain-lain masih berleluasa, kini ditambah kehilangan harta awam dan persendirian. Bila agaknya kes ini akan selesai. Dan siapa pula pencurinya?..........

08 Mac 2010

Warga Emas meninggal dunia


Seorang warga mas Pn Sariah @ Hjh Aminah bt Hj Tahir telah meninggal dunia pada petang semalam dirumah anak perempuannya pada usia 96tahun. Menurut cucu almarhumah En Baharin bin Ismail, neneknya memang telah lama uzur dan agar kurang ingatan, tetapi tiada masalah kesihatan yang serius melainkan deman dan sakit biasa.

Jenazahnya telah selamat dikebumikan pada pagi ini ditanah perkuburan Islam Olak Lempit, yang diketuai oleh tuan Imam Hj Ramli bin Dolah. Turut serta mengiringi jenazah ditanah perkuburan, semua saudara mara terdekat serta jiran tetangga. Tidak ketinggalan Pengerusi JKKKP Ust. Abdul Nasir bin Jajuli bersama-sama ditanah perkuburan tersebut untuk memberikan penghormatan terakhir.

Ketika ditemui, Pengerusi JKKKP mengucapkan takziah kepada keluarga almarhumah, semoga seluruh ahli keluarga sentiasa bersabar diatas dugaan yang diterima. Beliau juga akan mengusahakan sumbangan untuk waris dari YB Ahli Parlimen Sepang.

07 Mac 2010

Jawatankuasa Baru PIBG Sra Olak Lempit

Petang tadi, PIBG Sekolah Rendah Agama Olak Lempit telah mengadakan mesyuarat agong tahunannya. Mesyuarat pada petang tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Lebih 100 orang terdiri dari ibubapa /penjaga dan guru hadir bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli PIBG untuk sekurang-kurangnya menghadiri mesyuarat agong tahunan.

Banyak juga usul dan cadangan yang ditimbulkan. Antaranya berkaitan dengan masalah kedai koperasi yang menjual peralatan yang lebih kepada menggalakkan pelajar berbelanja disitu. Masalah penjaga jalan yang terlalu kasar juga ditimbulkan. Selain permohonan agar dibina jejambat atau bonggol, permohonan agar pihak sekolah menyediakan kelas Iqro' secara percuma khusus kepada pelajar yang lemah juga diusulkan.

Sebelum itu, pemilihan jawatankuasa baru telah dibuat, dimana Ust. Abdul Nasir bin Jajuli telah dilantik selaku YDP yang baru bagi sessi 2010 hingga 2012. Dalam ucapan sulungnya, beliau berharap agar jawatankuasa yang  telah dipilih dapat menjalinkan kerjasama yang baik demi kemajuan sekolah. Beliau juga berharap agar sentiasa ada teguran-teguran membina dari semua ahli samada secara lisan atau bertulis.

Mesyuarat tersebut agak terganggu dengan masalah pembesar suara yang tidak berfungsi dengan baik. YDP dalam ucapannya berjanji untuk mengusahakan bagi mendapatkan pembesar suara yang baru dan lebih berkualiti untuk kegunaan sekolah.

Semoga barisan yang baru terpilih ini dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sempurna dan dapat membantu menaikkan lagi nama sekolah, selain dapat melahirkan lebih ramai cerdik pandai islam di kampung ini.

06 Mac 2010

"Sinoman" ; Budaya gotong-royong tetap subur di Olak Lempit

Setiap hujung minggu boleh dikatakan terdapat majlis-majlis perkahwinan di sekitar Olak Lempit. Adakala dalam minggu tersebut terdapat lebih dari sebuah rumah yang mengadakan majlis perkahwinan. Minggu ini ada dua majlis perkahwinan yang dibuat secara serentak, iaitu Tn Hj Hanif bin Lasim dan isteri Pn Hjh Jami'aah bt Hj Md. Nor serta En Sarani bin Mustafa dan isteri Pn Kamariah bt Haset. Biarpun kedudukan rumah Tn Hj Hanif dan En Sarani tidak terlalu jauh, malahan berada di jalan yang sama (Jalan Seri Gambut) namun kehadiran sanak-sanak saudara dan jiran tetangga untuk sama-sama membantu tidak menghampakan. Samada wanita atau lelaki, masing-masing bertungkus lumus membantu bagi memastikan majlis berjalan dengan sempurna.

Budaya ini sebenarnya telah bertapak sejak dahulu lagi di kampung ini, dimana ketika itu jika ada majlis perkahwinan akan dilangsungkan. Biasanya, sekurang-kurangnya sebulan sebelum majlis, tuan rumah akan berjumpa dengan ketua kampung untuk berbincang dan memohon nasihat serta kerjasama bagi menjayakan majlis tersebut. Sanak saudara terdekat serta jiran tetangga akan datang membawa keperluan untuk majlis seperti beras, minyak masak, bawang, gula dan sebagainya. Barang-barang ini akan dibawa sekurang-kurangnya seminggu lebih awal. Kebanyakan rumah-rumah ketika itu mempunyai stor simpanan barang mentah yang terletak di tingkat atas rumah, yang dikenali dengan nama loteng. Loteng ini boleh memuatkan hampir kesemua barangan keperluan untuk majlis tersebut.

Suasana ketika itu memang amat meriah, lebih-lebih lagi sanak saudara dapat dihimpunkan dan adakala sampai berminggu-minggu tinggal di rumah pengantin bagi membantu tuan rumah dari mula hingga majlis selesai. Zaman tersebut kita tak jumpa khemah atau kanopi kerana tempat jamuan hanya didirikan dengan batang-batang buluh berdinding nipah dan berlantai rumput atau lalang dan dibentang tikar yang dianyam dari buluh. Di situlah tempat tetamu menjamu selera dengan layanan dari penanggah atau sinoman yang menghidangkan jamuan tersebut.

Namun kini telah berubah. Bangsal dah jadi kanopi, dan kadangkala kenopi ini ditambah dengan kain langsir yang berwarna warni seperti majlis istana. Lantai-lantai buluh pula telah bertukar kerusi dan meja PVC yang lebih selesa dan adakalanya kerusi ini disarungkan dengan kain berbagai warna dan corak mengikut kehendak tuan rumah. Makan pula dengan pinggan yang cantik dan dihidangkan secara buffet dengan bekas yang menarik dan moden. Adakalanya bekas buffet tersebut ada pemanasnya bagi memastikan lauk sentiasa panas. Tetamu juga boleh memilih sendiri lauk pauk yang disukai.

Tetapi yang masih kekal hingga hari ini ialah "sinoman"nya yang masih kekal dengan budaya gotong-royong. Biarpun ada perkhidmatan katering yang mungkin lebih menjimatkan kos, namun kebanyakan penduduk di kampung ini lebih cenderung untuk mengekalkan budaya sinoman ini sebagai suatu warisan budaya yang dapat menghimpun dan merapatkan hubungan dalam masyarakat. Semoga kita terus pertahankan sinoman sebagai medium pengukuh persaudaraan. InsyaAllah.

02 Mac 2010

Kemalangan punca kesesakan

Dalam kesibukan untuk pulang dari tempat kerja masing-masing, para pemandu diberi dugaan kesabaran yang berat, apabila terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas yang teruk disebabkan kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah lori pasir yang terhumban cerun jalan di km 64 jalan Banting Dengkil.

Berdasarkan keterangan dari saksi, kemalangan ini berlaku apabila pemandu lori cuba mengelak sebuah kereta yang dipandu perlahan menghala keBanting. Lori yang menghadapi masalah break cuba mengelak dari melanggar kereta dihadapannya lalu terhumban di cerun jalan sedalam 5 meter. Kereta yang dipandu perlahan tidak menyedari kemalangan tersebut dan terus memandu. Pemandu lori  yang berasal dari Sabah itu, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kesesakan berlaku apabila kren yang di panggil untuk menarik lori tiba pada jam 5 petang, dimana waktu tersebut kakitangan yang bekerja di pejabat mula pulang dan melalui jalan tersebut. Kesesakan berlaku sepanjang lebih 3 km sepanjang jalan dari km 64 hingga km 61 dan dari km 64 hingga km 66 jalan banting dengkil.Keadaan kembali pulih seperti biasa bermula jam 10.00pm.

Inilah suasana Kampung Olak Lempit kini. Jika dulu mungkin kita boleh bersenang-senang melalui jalan ini. kini tidak lagi. Silap-silap jika kita kurang berhati-hati, kemalangan boleh terjadi.