06 Mac 2010

"Sinoman" ; Budaya gotong-royong tetap subur di Olak Lempit

Setiap hujung minggu boleh dikatakan terdapat majlis-majlis perkahwinan di sekitar Olak Lempit. Adakala dalam minggu tersebut terdapat lebih dari sebuah rumah yang mengadakan majlis perkahwinan. Minggu ini ada dua majlis perkahwinan yang dibuat secara serentak, iaitu Tn Hj Hanif bin Lasim dan isteri Pn Hjh Jami'aah bt Hj Md. Nor serta En Sarani bin Mustafa dan isteri Pn Kamariah bt Haset. Biarpun kedudukan rumah Tn Hj Hanif dan En Sarani tidak terlalu jauh, malahan berada di jalan yang sama (Jalan Seri Gambut) namun kehadiran sanak-sanak saudara dan jiran tetangga untuk sama-sama membantu tidak menghampakan. Samada wanita atau lelaki, masing-masing bertungkus lumus membantu bagi memastikan majlis berjalan dengan sempurna.

Budaya ini sebenarnya telah bertapak sejak dahulu lagi di kampung ini, dimana ketika itu jika ada majlis perkahwinan akan dilangsungkan. Biasanya, sekurang-kurangnya sebulan sebelum majlis, tuan rumah akan berjumpa dengan ketua kampung untuk berbincang dan memohon nasihat serta kerjasama bagi menjayakan majlis tersebut. Sanak saudara terdekat serta jiran tetangga akan datang membawa keperluan untuk majlis seperti beras, minyak masak, bawang, gula dan sebagainya. Barang-barang ini akan dibawa sekurang-kurangnya seminggu lebih awal. Kebanyakan rumah-rumah ketika itu mempunyai stor simpanan barang mentah yang terletak di tingkat atas rumah, yang dikenali dengan nama loteng. Loteng ini boleh memuatkan hampir kesemua barangan keperluan untuk majlis tersebut.

Suasana ketika itu memang amat meriah, lebih-lebih lagi sanak saudara dapat dihimpunkan dan adakala sampai berminggu-minggu tinggal di rumah pengantin bagi membantu tuan rumah dari mula hingga majlis selesai. Zaman tersebut kita tak jumpa khemah atau kanopi kerana tempat jamuan hanya didirikan dengan batang-batang buluh berdinding nipah dan berlantai rumput atau lalang dan dibentang tikar yang dianyam dari buluh. Di situlah tempat tetamu menjamu selera dengan layanan dari penanggah atau sinoman yang menghidangkan jamuan tersebut.

Namun kini telah berubah. Bangsal dah jadi kanopi, dan kadangkala kenopi ini ditambah dengan kain langsir yang berwarna warni seperti majlis istana. Lantai-lantai buluh pula telah bertukar kerusi dan meja PVC yang lebih selesa dan adakalanya kerusi ini disarungkan dengan kain berbagai warna dan corak mengikut kehendak tuan rumah. Makan pula dengan pinggan yang cantik dan dihidangkan secara buffet dengan bekas yang menarik dan moden. Adakalanya bekas buffet tersebut ada pemanasnya bagi memastikan lauk sentiasa panas. Tetamu juga boleh memilih sendiri lauk pauk yang disukai.

Tetapi yang masih kekal hingga hari ini ialah "sinoman"nya yang masih kekal dengan budaya gotong-royong. Biarpun ada perkhidmatan katering yang mungkin lebih menjimatkan kos, namun kebanyakan penduduk di kampung ini lebih cenderung untuk mengekalkan budaya sinoman ini sebagai suatu warisan budaya yang dapat menghimpun dan merapatkan hubungan dalam masyarakat. Semoga kita terus pertahankan sinoman sebagai medium pengukuh persaudaraan. InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan