Petang tadi, PIBG Sekolah Rendah Agama Olak Lempit telah mengadakan mesyuarat agong tahunannya. Mesyuarat pada petang tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Lebih 100 orang terdiri dari ibubapa /penjaga dan guru hadir bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli PIBG untuk sekurang-kurangnya menghadiri mesyuarat agong tahunan.
Banyak juga usul dan cadangan yang ditimbulkan. Antaranya berkaitan dengan masalah kedai koperasi yang menjual peralatan yang lebih kepada menggalakkan pelajar berbelanja disitu. Masalah penjaga jalan yang terlalu kasar juga ditimbulkan. Selain permohonan agar dibina jejambat atau bonggol, permohonan agar pihak sekolah menyediakan kelas Iqro' secara percuma khusus kepada pelajar yang lemah juga diusulkan.
Sebelum itu, pemilihan jawatankuasa baru telah dibuat, dimana Ust. Abdul Nasir bin Jajuli telah dilantik selaku YDP yang baru bagi sessi 2010 hingga 2012. Dalam ucapan sulungnya, beliau berharap agar jawatankuasa yang telah dipilih dapat menjalinkan kerjasama yang baik demi kemajuan sekolah. Beliau juga berharap agar sentiasa ada teguran-teguran membina dari semua ahli samada secara lisan atau bertulis.
Mesyuarat tersebut agak terganggu dengan masalah pembesar suara yang tidak berfungsi dengan baik. YDP dalam ucapannya berjanji untuk mengusahakan bagi mendapatkan pembesar suara yang baru dan lebih berkualiti untuk kegunaan sekolah.
Semoga barisan yang baru terpilih ini dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sempurna dan dapat membantu menaikkan lagi nama sekolah, selain dapat melahirkan lebih ramai cerdik pandai islam di kampung ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan