Pagi ini, saya bersarapan di kedai Igon bersama beberapa rakan-rakan medang (sembang kedai kopi). Antara isu yang menarik perhatian ialah berkaitan dengan masalah tanah pusaka. Topik ini begitu menarik untuk dibincangkan hingga seorang sahabat yang sepatutnya nak pergi kebun, tangguh dulu semata-mata join cerita pasal tanah pusaka.Berbagai isu seperti perebutan antara adik beradik lelaki dan perempuan yang inginkan pembahagian sama rata sehinggalah ke masalah wasiat dan hibah.
Dalam sembang-sembang bersama tersebut, saya dapati ramai dikalangan kita yang tidak mengetahui tentang kepentingan menyelesaikan atau menguruskan pusaka. Masing-masing beranggapan apabila berlaku kematian, secara automatik harta akan turun kepada waris. Dan paling malang, ramai juga yang tidak tahu siapa itu waris dan orang yang berhak diatas harta pusaka tersebut.
Di kesempatan tersebut, sempat saya memberikan sedikit makluman dan kepentingan mengurus dan menyelesaikan harta pusaka. Bermula dengan mengumpulkan semua makluman harta dan makluman waris serta siapa waris yang berhak. Jika dapat difahami pastinya kita akan dapati bahawa mengurus harta pusaka bukan suatu yang sukar. Ianya menjadi rumit kerana waris sendiri yang tidak faham tentang kaedah serta hak yang mereka ada. Ditambah dengan kecenderungan masyarakat kita yang mementingkan kebendaan sehingga mencetuskan pertikaian. Sebab itu, amat penting untuk masyarakat kita mengetahui kaedah pengurusan dan penyelasaian harta pusaka serta ilmu pembahagian pusaka yang disebut sebagai ilmu faraid.
Sebenarnya, ilmu faraid tak sesukar mana. Asasnya boleh dikuasai oleh semua orang, melainkan jika ke satu tahap yang lebih mendalam terutama melibatkan urutan waris yang berlapis-lapis. Namun untuk kes biasa, jika simati meninggalkan waris-waris utama seperti isteri,ibu bapa dan anak-anak, rasanya ianya tidaklah sukar sangat. Isteri akan mendapat 1/8 , ibu dan bapa masing-masing akan mendapat 1/6 setiap seorang dan selebih nya adalah untuk anak-anak simati, dimana lelaki akan mendapat 2 bahagian dan perempuan 1 bahagian.
Namun, dinegara kita ini, jika kita tidak faham berkaitan faraid pun kes pusaka boleh diselesaikan dengan mengisi borang penyelesaian pusaka yang boleh didapati di pejabat pusaka kecil di pejabat daerah. Yang penting, kumpulkan salinan dukumen dan bayar pendaftaran RM 10.00. Lepas tu tunggu dipanggil untuk bicara kuasa. Jadi macam tak nampak masalah yang besar pun. Mungkin yang jadi masalah kesanggupun waris untuk ke pejabat pusaka bagi menguruskan kes penyelesaian pusaka tersebut.
Oleh itu, mana-mana individu yang rasanya masih tak selesai pusakanya, uruskanlah dengan segera. Jika dibiarkan boleh menimbulkan masalah dan tidak kurang mencetuskan perbalahan dan perebutan hingga ketahap putus saudara dan sebagainya. Sedangkan simati meninggalkan harta untuk mewujudkan suasana harmoni dan sejahtera, namun berlaku sebaliknya pula.
Di akhir perbualan, masing-masing bersetuju bahawa punca sebenar perbalahan dan perebutan pusaka kerana tiada ilmu dan makluman berkaitan pusaka. Akhirnya, semua pun beredar ke destinasi masing-masing. Semoga pendedahan ini menjadi makluman penting kepada mereka-mereka yang masih ada masalah harta pusaka.
Penulis : Abdul Nasir bin Jajuli
Pengerusi JKKKP Olak Lempit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan