Berita dari Harian Metro, 27 Julai 2010
SEPANG: Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit, dekat sini terpilih menjadi anak angkat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) menerusi program tanggungjawab korporat (CR) syarikat terbabit dikenali ‘Beyond Borders’ untuk membantu meningkatkan prestasi sekolah dan membantu pelajar kurang mampu.
Ketua Pegawai Kewangan MAHB, Faizal Mansor, berkata dengan pemilihan itu, sekolah ini akan terbabit dengan pelbagai aktiviti yang dirancang termasuk bengkel untuk guru dan bengkel penulisan kreatif untuk pelajar tahun Empat, yang bertujuan memupuk dan menggalakkan daya kreatif dan inovasi di kalangan guru dan pelajar.
“Guru akan didedahkan dengan modul pengurusan projek, pengajaran kreatif dan kemahiran berkomunikasi. Ia secara tidak langsung berkait rapat dengan bidang akademik apabila guru terbabit akan mengaplikasi kembali ilmu yang dipelajari menerusi pelaksanaan ‘post-workshop project’ yang mengetengahkan mata pelajaran utama iaitu Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains,” katanya ketika melancarkan program Beyond Borders di SK Olak Lempit, dekat sini, semalam.
“Kami berharap ‘post-workshop project’ ini dapat membantu guru dalam menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di luar bilik darjah.
“Bengkel penulisan kreatif pula bertujuan memupuk minat pelajar tahun empat terhadap subjek karangan Bahasa Inggeris di samping membantu mereka menguasai kemahiran pemikiran kreatif,” katanya. ketika melancarkan program Beyond Borders di SK Olak Lempit, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Negeri Selangor, Sulaiman Wak; Pegawai Pelajaran Daerah Banting, Abd Talib Hamid dan Guru Besar SK Olak Lempit, Aziz Kedur.
Selain Sk Olak Lempit, sembilan lagi sekolah di seluruh negara turut dijadikan anak angkat di bawah program itu termasuk SK Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang; Sk Titi Gajah, Alor Setar, Kedah; SK Sungai Raya, Kinta, Perak (kawasan utara); SK Batu Tiga, Kuantan, Pahang; SK Mengabang Telipot, Terengganu; SK Parang Puting, Kota Bharu, Kelantan (timur) dan SK Kebangsaan Labu Ulu Bt 8, Negeri Sembilan; SK Semabok, Melaka serta SK Seri Cheras, Kuala Lumpur (tengah).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan