17 Februari 2010

JKKKP Mula Mengorak Langkah

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Olak Lempit telah mengadakan mesyuarat yang kedua untuk tahun 2010. Beberapa isu semasa diperbincangkan dan cadangan-cadangan pada mesyuarat sebelum ini sudah pun mula menunjukkan kemajuan.

Di dalam mesyuarat ini juga, Pengerusi Biro Pendidikan & IT, En Abdul Halim bin Hasan Masri telah membentangkan kertas kerja beliau untuk Majlis Pelancaran laman web rasmi "Kampung Olak Lempit" sekitar Mac 2010. Setelah meneliti pembentangan beliau, mesyuarat sebulat suara bersetuju meluluskan program pelancaran laman web ini. Beberapa cadangan juga diusulkan oleh ahli JKKKP lain untuk memperkasakan program ini. Jawatankuasa Kerja Program akan diwujudkan bagi melaksanakan program yang akan diadakan.

Dalam pada itu beberapa pendekatan baru telah digunakan dalam mesyuarat malam tadi. Penggunaan 'PowerPoint slide' dan televisyen ternyata membantu JKKKP menjadikan perjalanan mesyuarat ini menjadi lebih efisyen dan berkualiti. Biarpun sebenarnya pendekatan ini memerlukan tambahan tugas kepada urusetia, namun jika dilihat dari hasilnya ianya amat berbaloi kepada semua ahli jawatankuasa. Diharap urusetia akan terus istiqomah dalam meneruskan pembaharuan dalam pentadbiran.

Pada mesyuarat tersebut juga telah dibincangkan beberapa isu semasa di kampung, seperti isu jalan raya, kemalangan, banjir serta kemudahan awam yang lain. Pengerusi-pengerusi biro yang terlibat, telah diamanahkan untuk mengambil perhatian serta tindakan yang sewajarnya.

Apa yang menarik dalam mesyuarat tersebut, dimana buat pertama kalinya JKKKP mempunyai penasihat. Perlantikan En Hayun bin Kardi, Ketua Umno Cawangan Olak Lempit (1) dan Tn Hj Subohi bin Hj Sirat, ketua Umno Cawangan Olak Lempit (2) selaku penasihat sangat relevan. Ini kerana mereka berdua mempunyai pengalaman yang cukup banyak sewaktu berada didalam JKKK suatu masa dulu. Tn Hj Subohi merupakan bekas Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung, manakala En Hayun pernah menjadi Setiausaha  JKKK dizaman kegemilangan kampung dulu. Sememangnya, banyak panduan dan pedoman diberikan oleh mereka berdua agar kefungsian JKKKP lebih menyerlah. Biarpun pada malam tersebut Tn Hj Subohi tidak dapat hadir atas keuzurannya, namun kehadiran En Hayun amat bermakna bagi JKKKP serta amat dialu-alukan. Sokongan , bantuan dan Idea dari pihak beliau sentiasa ditagih oleh barisan muda JKKKP. Semoga semangat seperti ini akan dirasai dan dikongsi oleh semua lapisan masyarakat bersama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan